21 Mei 2009

PAS lancar dana bina kompleks RM27 di Putrajaya


PUTRAJAYA, 18 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Tabung Pembangunan Kompleks PAS yang bakal dibina di atas tapak seluas 17 ekar di sebuah hotel terkenal hari ini.

Apabila siap, komplek ini bakal mempunyai sebuah dewan persidangan yang boleh memuatkan 8,000 orang di samping pusat latihan moden serba lengkap di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Tapak itu terletak di Sungai Merab iaitu kira-kira lima minit perjalanan dengan kereta dari pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Ia di kelilingi oleh tasik dan sungai yang mengalir di sebelah tapak 17 ekar itu.

Menurut Abdul Hadi, kompleks ini bakal mempersiapkan PAS untuk melangkah ke Putrajaya.

Di majlis itu, beliau menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk menjayakan pembinaan komplek yang bakal dibuat secara gotong royong di kalangan tenaga pakar dalam PAS.

"Kompleks ini sudah dirancang sekian lama dan setelah mempunyai tapak yang sesuai kita lancarkan kutipan dananya hari ini," kata Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Projek pembinaan kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM27 juta ini dipengerusi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. -
siasahdaily
Baca lagi...

09 Mei 2009

Apabila Orang PAS Menonton Teater -Dinsman

Alhamdulillah, teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ telah selamat dipentaskan di Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam, pada 29 April hingga 3 Mei, selama 5 malam. Sambutan orang ramai sungguh di luar dugaan. Saya bersyukur kerana dianugerahi inspirasi dapat menghasilkan sesuatu yang rupa-rupanya diterima oleh orang ramai dengan begitu menggalakkan sekali, khasnya dalam konteks Islam.

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya sepanjang 5 malam pementasan itu. Pertama, buat pertama kalinya dalam sejarah teater, saya menyaksikan para penonton datang secara berkeluarga, membawa isteri dan anak-anak, malah ada yang turut membawa ibu. Hinggakan sahabat saya yang menyambut mereka di pintu masuk ke auditorium berkata, “Macam menyambut tetamu datang ke rumah saya pula.”

Berbeza sekali dengan penonton yang biasa kita temui datang menonton teater di Istana Budaya atau Dewan Bahasa & Pustaka misalnya, dan apatah lagi di KLPac Sentul atau Actor’s Studio Bangsar. Malah di tempat-tempat begitu kanak-kanak kecil tidak dibenarkan masuk pun.

Pada hari pertama ada beberapa orang menelefon saya bertanya apakah mereka boleh membawa kanak-kanak kecil. Saya menjelaskan bahawa kanak-kanak yang di bawah umur 8 tahun dinasihatkan supaya tidak dibawa. Seorang wanita yang anaknya baru berumur setahun, mendesak saya membenarkan dia membawa anaknya, kerana tidak ada siapa yang boleh ditinggalkan anaknya itu. Saya meminta maaf kepadanya kerana tidak dapat membenarkan.

Tetapi di depan pintu muzium pada malam itu, datang sepasang suami isteri dengan membawa bayi yang kira-kira baru beberapa bulan sahaja dilahirkan. Ah, macam mana ni? Wajarkah saya meminta maaf pada mereka dan menegah mereka daripada menonton? Kalau dibenarkan, bagaimana pula yang tadi saya tidak benarkan?

Akhirnya tidak sampai hati saya hendak menghalang. Hanya mereka diminta duduk di kerusi paling belakang dan paling dekat dengan pintu, supaya mudah keluar kalau bayi itu meragam dan perlu dibawa keluar sewaktu pementasan sedang berlangsung.

Kemudian, paling memeranjatkan saya pada malam ketiga. Hari Jumaat, 1 Mei, hari cuti, dan esoknya pun cuti. Kanak-kanak hampir sama banyak dengan orang dewasa yang memenuhi auditorium pada malam itu. Ada keluarga yang terdiri daripada 2 orang dewasa dan 4 atau 5 orang kanak-kanak.

Terlintas soalan: Apakah mereka ini membawa anak-anak kerana menyangka pelakon Sabri Yunus yang terkenal sebagai pelakon komedi itu akan membuat lakonan lawak? Saya berbincang dengan kawan-kawan. Kami berpendapat – mungkin ada juga yang beranggapan sedemikian. Tetapi kebanyakan mereka bukan kerana itu, sebab ramai juga anak-anak yang diperingkat umur yang belum mengenali Sabri Yunus sebagai pelakon komedi.

Maka saya membuat kesimpulan bahawa yang demikian itu adalah sebahagian daripada budaya orang PAS. Kebanyakan yang datang menonton teater MKDT itu adalah orang-orang yang membaca Harakah. Mereka mengetahuinya melalui iklan dan artikel yang tersiar dalam Harakah (bukan semua, tetapi kebanyakannya).

Kita boleh mengenalinya dengan melihat gaya mereka. Dan apatah lagi apabila mengikuti majlis diskusi yang diadakan selepasa pementasan pada malam kedua hingga malam terakhir. Ramai juga yang mengaku mereka baru pertama kali menonton teater. Maka tentulah mereka datang itu kerana hendak menonton teater seperti yang mereka baca di dalam Harakah, iaitu “Teater Dari Hadis Nabi”.

Saya tertarik kepada “budaya berkeluarga” di kalangan orang PAS itu. Ia begitu jelas dan ketara sekali. Di zaman institusi keluarga sedang menghadapi masalah pada hari ini, orang PAS dapat terus mempertahankan ikatan kekeluargaan yang kuat di kalangan mereka. Dan hal itu dapat dilihat hingga dalam peristiwa-peristiwa yang biasanya dilakukan tanpa melibatkan ahli keluarga, seperti dalam peristiwa menonton teater ini.

Rupa-rupanya begitu kuat sekali kesan “tarbiyah” yang berlaku dalam kelompok orang-orang PAS. Tanpa disedari, dan tanpa dirancang, ia berlaku hingga ke dalam situasi-situasi yang seperti situasi menonton teater itu. Satu situasi yang bukan suatu kebiasaan bagi mereka.

Budaya menonton teater mengikut tradisi Barat bukanlah sesuatu yang diraikan secara berkeluarga. Ia samada dihadiri oleh orang-orang dewasa atau pun pada remaja. Bukan untuk ibubapa membawa anak-anak kecil, kerana etika sewaktu menonton memerlukan suasana yang khusyuk, tanpa ada suara yang boleh mengganggu konsentrasi pelakon dan juga penonton lain. “Ini sebenarnya berbeza dengan tradisi teater di alam melayu”.

Pentingnya suasana khusyuk atau kosentrasi dalam penontonan teater ini juga turut melibatkan disiplin bahawa penonton perlu datang sebelum waktu pementasan dimulakan. Biasanya teater dimulakan pada jam 8.00 atau 8.30 malam. Oleh kerana pementasan MKDT hanya memakan waktu selama 45 minit sahaja, kami menetapkan waktu bermulanya jam 9.00 malam.

Tetapi kami tidak dapat memulakannya pada jam 9.00 malam kerana pada waktu itu orang masih tiba. Maka kami terpaksa melewatkan waktu pementasan hingga kepada jam 9.15 malam. Itu pun masih ada orang yang datang, hingga jam 9.30 malam. Mereka semestinya terlepas bahagian awalnya.

Demikianlah, walau apa pun, melihat ramai orang-orang baru mulai datang menonton teater, saya berharap saya telah melakukan sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk manusia, khasnya untuk Islam. Dan semoga teater tidak akan merosakkan ikatan kekeluargaan yang telah berjaya dibina dan dipertahankan oleh orang-orang PAS itu.
Baca lagi...