24 Ogos 2009

ISU SYURGA, NERAKA TIDAK PERLU DIPANJANGKAN

JOHOR BHARU (ISNIN, 24 OGOS 2009) - Pesuruhjaya PAS Johor, Prof. Dato' Dr. Mahfodz Mohamed menyifatkan isu syurga dan neraka daripada kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya diulas sesetengah pihak hingga ada yang menyifatkannya (Nik Aziz) "manusia luar biasa" dan memintanya bertaubat.

Beliau berkata, kenyataan juga tidak seharusnya diberikan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin terhadap kenyataan Nik Aziz mengenai sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam, tanpa bertanyakan hal itu terlebih dulu kepada Nik Aziz.

"Jika hendak buat kenyataan terhadap kenyataan seseorang itu, mesti tanya dulu tuan punya diri dan saya juga tidak mahu ulas apa-apa kerana tiada di tempat kejadian dan saya sendiri belum berkesempatan bertanyakan hal ini kepada beliau (Nik Aziz)."

"PAS memang perjuangkan Islam dan UMNO berdasarkan perkauman. Pada dasarnya memang betul apa yang ditimbulkan Nik Aziz itu, isu syurga dan neraka ditujukan kepada mereka yang berbuat baik akan dibalas baik dan jahat dibalas jahat namun janganlah disalahfahamkan maksud yang cuba disampaikannya itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

(Dipetik dari Sinar Harian (Perak), Isnin 24 OGOS 2009, N7)
Baca lagi...

21 Ogos 2009

UMNO TAK PERTAHAN MELAYU, APATAH LAGI ISLAM

KUALA LUMPUR : Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed mendakwa perjuangan UMNO menyimpang jauh daripada dasar Islam dan parti itu bukan sahaja tidak pertahankan bangsa Melayu malah membiarkan Islam tanpa haluan.

Oleh sebab itu dakwanya, tidak hairan kalau UMNO tidak menghormati fatwa yang dikeluarkan mufti kerajaan yang didokong mereka sendiri kerana bagi mereka Islam itu sebagai topeng saja.

“Hanya di kulit yang mereka pegang Islam, yang lain suku-suku dan mana yang mereka hendak, dia ambil dan mana yang tidak mahu, mereka buang,” katanya semasa dihubungi Harakah.

Dakwanya, banyak isu-isu yang menghina Islam termasuk kes murtad di kalangan orang Melayu tidak dipedulikan UMNO. Sebalik beliau berkata, PAS yang tidak mempunyai kuasa autoriti melakukan bantahan untuk menyelamatkan orang Melayu supaya tidak mudah dipesong akidahnya oleh musuh Islam.

Malah katanya, dalam kes penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, orang UMNO dilihat tidak berani melakukan apa-apa tindakan.

“Orang PAS juga yang bertindak biarpun tidak ada apa-apa kuasa tetapi kita tunjukkan kepada masyarakat yang PAS pertahankan Islam.”

Tambahan pula katanya, selari dengan Perlembagaan PAS yang mendidik masyarakat Islam untuk memahami Islam. Katanya, tidak masuk akal jika UMNO mendakwa Pakatan Rakyat yang mengkhianati Melayu selama ini.

Beliau berkata, sejak merdeka cuti hari minggunya di negeri Johor jatuh pada Jumaat tetapi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar dahulu beliau menukarnya kepada hari Ahad.

Tindakan tersebut katanya, seolah-olah tidak mahu iktiraf hari Jumaat hari minggu dalam Islam. Beliau mendakwa UMNO bukan saja tidak pertahan Islam malah bangsa Melayu pun direndah-rendahkan.

Ini jelasnya, dalam isu Bahasa Melayu dipertikaikan UMNO apabila dasar PPSMI dilaksanakan biarpun mendapat tentangan rakyat.

“Jika bangsa Melayu pun UMNO tidak pertahankan, jauh sekali dengan agama Islam,” tegasnya.

Dr. Mahfodz menegaskan, ramai orang Melayu melanggar hukum hakam Islam, contohnya minum arak, berjudi, tidak menutup aurat, dilekakan dengan program-program hiburan yang keterlaluan dan ini semua kerana UMNO tidak mahu ikut al-Quran dan Sunnah sebagai dasar pentadbiran.

(Fikrah Bil. 1466, 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430, 21-23 Ogos 2009)
Baca lagi...

05 Ogos 2009

Kenyataan Penuh Dr. Hassan Ali

"KONTROVERSI ISU ARAK DI SELANGOR"

PENDAHULUAN
Meminum arak ataupun minuman berakohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada sipeminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “(al Maidah: 90).

Nabi Muhammad s.a.w pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:
Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1)yang memerahnya, (2)yang minta diperahkannya, (3)yang meminumnya, (4)yang membawanya, (5)yang minta dihantarinya, (6)yang menuangkannya, (7)yang menjualnya, (8)yang makan harganya, (9)yang membelinya, (10)yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995.
Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR
Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya. Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR
PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI
PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR
4 OGOS 2009
Baca lagi...

02 Ogos 2009

Sayang Malaysia Negara Polis - Zaid Ibrahim


Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata; mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA. Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita. Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.
Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan. Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA. Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club; kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.
Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi. Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Sa orang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib maanusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.
Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersurai, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam. Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ. Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.
Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat. Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.
Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman. Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salaha guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.
Baca lagi...

Himpunan Mansuhkan ISA (4) - Kerakusan Polis/FRU

FRU melepaskan gam pemedih mata berdekatan Bank Negara Malaysia

FRU berkawal di Sogo

Apa bomba ini buat di depan Kompleks Pertama?


Baca lagi...

Himpunan Mansuh ISA (3) - Masjid Jamek

Lokasi ini juga dianggarkan berjaya menghimpunkan seramai 10ribu orang dan lokasi ini jugalah antara paling ramai tangkapan di buat.

Orang ramai bergerak dari Masjid Jamek menuju ke Sogo.

Baca lagi...

Himpunan Mansuh ISA (2) - Sogo

Sogo dipercayai sebagai lokasi paling ramai rakyat berhimpun. Pemimpin-pemimpin tertinggi parti dalam Pakatan Rakyat juga ramai yang berkumpul di sini termasuk Dato' Seri Presiden kita.

Baca lagi...

Himpunan Mansuh ISA (1) - Masjid Negara

Alhamdulillah, GMI dikira berjaya menganjurkan demonstrasi anti-ISA semalam walaupun kita gagal menyerahkan memorandum ke Istana Negara. Mungkin ia tidak mencapai 100ribu tapi saya yakin jumlah rakyat yang berhimpun di keseluruhan 3 lokasi utama itu semalam melebihi 50ribu orang. Cumanya kita gagal menyatukan kumpulan besar ini terutama kumpulan dari Masjid Negara (saya berada di dalam kumpulan ini).

Berikut adalah gambar-gambar dari satu lokasi utama iaitu di Masjid Negara.







Baca lagi...