19 Oktober 2009

PERJUANGAN PAS TETAP IKUT PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diminta mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum menuduh PAS yang bukan-bukan termasuk tohmahan kononnya PAS tidak lagi menjadikan negara Islam sebagai wawasan utamanya, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad.
Beliau menegaskan perjuangan PAS tidak pernah berubah sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti iaitu dalam Fasal 5 hingga 7.
Antaranya, tegas beliau, memperjuangkan wujudnya di dalam negeri ini sebuah masyarakat dan pemerintah yang terlaksana di dalam nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakam menuju keredaan Allah.
"Tak betullah kalau kata PAS menyeleweng daripada dasar Islam walaupun bergabung dengan Pakatan RAkyat, PAS tetap menegakkan hukum-hakam tentang Islam. Maknyanya dia tidak tahu perlembagaan PAS," bidasnya.
Ujar Dr. Mahfodz lagi, PAS akan bersuara jika ada isu-isu yang bercanggah dengan Islam contohnya isu arak di Selangor, PAS Selangor bersuara tentang isu tersebut.
"Walaupun PAs minoriti di Selangor tetapi kita bersuara, kepada kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Keadilan," katanya kepada Harakah.
Beliau berkata, PAS mempunyai perlembagaan sendiri iaitu untuk menyinarkan Islam. Jika Malaysia diterajui oleh PAS nanti, parti itu akan melaksanakan apa yang dijelaskan oleh perlembagaan.
Semasa berucap dalam Persidangan Agung Pemuda UMNO 2009, Selasa lalu Khairy menuduh PAS lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.
Malah dakwanya PAS tidak lagi garang bersuara, untuk menegur Keadilan dan DAP tentang pelbagai perkara termasuk cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri Selangor.
Tegas Dr. Mahfodz lagi, berbeza dengan UMNO biarpun UMNO menguasai negara, tidak ada dalam Perlembagaan UMNO yang menyebut parti itu memperjuangkan Islam.
"Sekarang ini disebut lagi dalam perhimpunan UMNO, yang mereka perjuangkan negara, bangsa dan agama. Itu hanya retorik dan cakap-cakap kosong. Kalau itu tak ada, bagaimana nak perjuangkan dan rasuah, penyelewengan, maksiat dan sebagainya," katanya.
Disebabkan itu katanya, negara akan jadi porak poranda jika tidak dikawal oleh agama.
Beliau menolak dakwaan Khairy kononnya PAS menggadaikan agama demi mencapai tujuan politik.
Dr. Mahfodz mendakwa, perjuangan PAS semakin mendapat sambutan kerana perjuangannya berlandaskan Islam. Dengan itu tegasnya, tidak betul sama sekali PAS mahu menggadai agama sebaliknya UMNO yang menggadaikan agama dan bangsa dan negara.
Contoh beliau menegaskan kes Pulau Batu Putih terlepas ke tangan Singapura akibatnya lemahnya pimpinan negara yang dipimpin oleh UMNO.
(Oleh ROY RASUL, Harakah 30 Syawal-3 Zulkaedah 1430 / 19-22 Oktober 2009, N11)
Baca lagi...