28 Januari 2009

Temuramah bersama wartawan PAS Johor

17 Januari lepas, calon Parti Islam Se-Malaysia(PAS), Mohd Abdul Wahid Endut berjaya menewaskan calon dari Barisan Nasional, Wan Ahmad Farid dan BEBAS, Azharuddin Mamat@Adam dengan majoriti 2631 undi dalam Pilihanraya Kecil P036. Wartawan Lajnah ICT PAS Johor menemu-bual PesuruhJaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Bin Mohamed bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai PRK tersebut.

Adakah Dato’ ada terlibat dalam Pilihanraya Kecil P036 ini yang menyumbang kemenangan kepada calon dari PAS?
Sebagai seorang Pesurujaya, tentulah saya perlu berperanan secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam setiap aktiviti parti lebih-lebih lagi jika melibatkan pilihanraya. Lagipun saya ada diminta oleh PAS Terengganu untuk memberikan apa jua bentuk bantuan kepada mereka untuk menghadapi Pilihanraya Kecil P036 tersebut.
Jadi diperingkat negeri Johor, kita ada menghantar petugas-petugas secara berperingkat iaitu sebanyak tiga peringkat untuk membantu melancarkan gerak-kerja parti sebelum dan sewaktu pilihanraya. Peringkat pertama ialah pada 31hb Disember hingga 6hb Januari, peringkat kedua pada 6hb hingga 12hb januari dan akhirnya pada 12hb hingga selesainya pilihanraya tersebut. Pada asalnya kita merancang untuk menghantar 15 orang petugas sahaja pada setiap peringkat. Namun berdasarkan peninjauan saya sewaktu berkunjung ke Terengganu sebanyak 2 kali, iaitu selama 3hari sewaktu sebelum penamaan calon dan bermula 14hb hingga selesainya pilihanraya, jumlah petugas dari negeri Johor adalah meningkat lebih-lebih lagi pada saat-saat akhir sebelum hari membuang undi. Pada hari jumaat dan hari sabtu sewaktu saya melawat rumah yang menempatkan petugas-petugas dari negeri Johor, saya dapati jumlah mereka adalah melebihi 40 orang.

Apakah komen Dato’ terhadap calon-calon yang bertanding dalam Pilihanraya ini?
Dari segi calon, pada pandangan saya calon dari PAS iaitu Mohd Abdul Wahid Endut daripada awal lagi telah mengatasi calon-calon lain iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dan juga BEBAS. Beliau sebelum ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama 5 penggal dan sudah tentulah kewibaannya sebagai seorang pemimpin terbukti dan dikenali ramai. Sekiranya beliau bukan seorang wakil rakyat yang baik,tentulah rakyat Terengganu terutamanya di Dun Wakaf Mempelam itu telah menolaknya awal-awal dan tidak perlu tunggu sehingga 5 penggal untuk menilai mutu perkhidmatannya.
Manakala bagi calon BN pula iaitu Wan Ahmad Farid ada banyak masalah yang perlu dihadapi. Perpecahan dalam parti terutamanya diperingkat negeri telah membentuk beberapa kumpulan sewaktu pilihanraya kali ini. Tindakan Wan Ahmad Farid yang mendakwa beliau bertanding sebagai seorang yang pro kepada Perdana Menteri telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Menteri Besar Terengganu iaitu Ahmad Said. Lagipun Wan Ahmad Farid ini dianggap sebagai seorang calon yang sukar mendekati masyarakat dengan statusnya yang ‘elit’ itu.
Bagi calon BEBAS pula saya rasa kurang bernasib baik berbanding Wan Maimun dahulu yang mendapat undian melebihi 600 berbanding beliau yang hanya mendapat kurang 200 undi sehingga hilang wang cagaran.

Bagaimana pula dengan komen Dato’ mengenai kempen yang berlangsung?
Pada pandangan saya kempen pada kali ini adalah agak tenang bagi kedua-dua belah pihak. PAS sendiri bertindak ‘defensive’ dan tidak menyerang isu-isu peribadi calon, perkauman dan juga UMNO. Ianya difahami dan dilaksanakan oleh para penceramah-penceramah daripada PAS and juga petugas-petugas parti. Kita lebih kepada ‘merayu’ kepada pengundi-pengundi agar mereka memberi sokongan kepada kita. Berdasarkan pemantauan saya juga, saya dapati bukan sahaja rakan-rakan kita daripada Pakatan Rakyat malahan UMNO sendiri menggunakan strategi yang sama. Semuanya mengambil peluang berkempen untuk menerangkan kebaikan parti masing-masing. Inilah yang sepatutnya kita amalkan dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat dan juga agar tidak wujud sikap dengki-mengdengki antara satu sama lain.

Sebelum Pilihanraya Kecil ini, isu-isu yang dimainkan media seolah-olah seperti ada perpecahan dalam PAS. Adakah ianya terbukti tidak benar sama-sekali dengan kemenangan PAS di Kuala Terengganu?
Sudah tentu. Ini kerana saya mengikuti perjalanan pilihanraya ini sejak daripada awal-awal lagi. Bermula dari hari penamaan calon, hari-hari berkempen dan seterusnya hari mengundi, saya lihat tidak timbulnya isu perpecahan dalam PAS ini. Kalaulah benar, mengapakah pada kali ini PAS mendapat jumlah undian yang jauh lebih baik sedangkan pada pilihanraya umum Mac yang lalu PAS tewas dengan majoriti 600 lebih. Jadi bagi saya isunya, yang berlaku perpecahan dalam parti itu sepatutnya ialah UMNO bukannya PAS.

Bagaimana pula dengan isu Hukum Hudud yang cuba ditimbulkan oleh UMNO?
Sebenarnya sewaktu berkempen, kita tidak digalakkan untuk menyentuh isu hudud ini. Isu ini hanya disampaikan kepada mereka-mereka yang ‘pakar’ seperti alim ulama’ sahaja. UMNO juga seperti sudah faham. Sekiranya hukum Hudud ini tidak diterima oleh rakyat Terengganu, sudah tentulah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang diluluskan oleh PAS sewaktu memerintah dari tahun 1999 di Terengganu telahpun dibatalkan sewaktu BN mengambil alih negeri pada 2004 tetapi sampai sekarang enakmen tersebut masih ada. Maka isu yang cuba ditimbulkan oleh menantu Perdana Menteri sewaktu di Kelantan dahulu, saya rasa ianya adalah gimik politik semata-mata. Seperti yang telah dikatakan oleh Dato’ Husam Musa, bidang kuasa untuk melaksanakan hukum ini terletak dibawah Kerajaan Pusat dan perkara ini sememangnya telah difahami oleh rakyat.

Adakah Dato’ lihat adanya persamaan mahupun perbezaan diantara PRK Permatang Pauh dengan PRK Kuala Terengganu ini?
Apa yang saya lihat, perbezaannya adalah yang bertanding sewaktu PRK Permatang Pauh yang lepas adalah calon dari Parti Keadilan rakyat dan sewaktu PRK Kuala Terengganu pula ialah calon dari PAS. Sewaktu PRK Permatang Pauh, calon dari PKR itu adalah pimpinan tertinngi parti manakala di Kuala Terengganu ini, Abdul Wahid Endut ini adalah Bendahari PAS Terengganu dan YDP PAS Kuala Terengganu. Bezanya seperti peringkat pusat dengan peringkat negeri. Tetapi persamaannya adalah, kedua-dua calon yang bertanding adalah dari Pakatan Rakyat. Sewaktu di Permatang Pauh dahulu, semua pemimpin setiap peringkat parti PAS terlibat dalam kempen. Bemula dari Musyidul Am, Presiden dan pimpinan-pimpinan lain turun membantu untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat. Perkara yang sama juga berlaku sewaktu di Kuala Terengganu. Malah dalam satu ceramahnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa beliau sangat terhutang budi kepada PAS, maka beliau sanggup berkampung di Kuala Terengganu ini bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan pemimpin-peminpin dari DAP seperti Lim Kit Siang dan Lin Guang Eng yang sama-sama turun unutk berkempen meraih sokongan rakyat.

SIASAH pada keluaran 11-17Januari ada mengulas mengenai PRK Kuala Terengganu. Antaranya adalah PRK Kuala Terengganu dlihat lebih kepada pungutan suara atau referendum untuk Timbalan Perdana Menteri, Datk Seri Mohd Najb Razak samada beliau boleh diterima sebagai PM Mac ini. Di pihak PAS pula, kalah menang pilihanraya ini akan menentukan parti itu boleh atau tidak menerajui semula Terengganu dalam PRU-13 nanti. Apa pandangan Dato’?
Saya lebih setuju ulasan berkenaan dengan pihak PAS. Kemenangan kali ini sebenarnya banyak berpunca daripada sokongan rakyat beragama islam kepada PAS. Bukan Islam dilihat masih lagi cenderung untuk menyokong BN. Sebab itulah pemimpin MCA masih lagi mendabik dada mengatakan pengundi kaum Cina masih memberikan sokongan kepada BN. Tetapi disebabkan Kuala Terengganu itu majoritinya beragama Islam maka PAS tidak begitu bermasalah untuk menawannya. Maka saya rasakan, PAS mampu untuk menawan Terengganu pada masa akan datang berdasarkan kepada sokongan yang telah diberikan oleh rakyat yang beagama islam kerana umum telah mengetahui bahawa rata-rata rakyat Terengganu adalah beragama islam.
Secara zahirnya, kemenangan calon BN yang bertanding bukannya sebagai petunjuk aras keupayaan seorang Timbalan Perdana Menteri untuk menjadi Perdana Menteri. Memang telah ditetapkan bahawa Pengarah Pilihanraya itu ialah Timbalan Perdana Menteri. Maka saya kurang bersetuju sekiranya kekalahan calon BN menunjukkan ketidakupayaan seorang Timbalan Perdana Menteri sebelum menjadi Perdana Menteri. Cuma mungkin sekiranya calon BN tersebut menang, maka lagi baiklah kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri.

Adakah Kemenenangan PAS di Kuala Terengganu kali ini akan menjadi satu semangat buat PAS Johor untuk melipat-gandakan usaha bagi menguasai Johor pada masa akan datang?
Saya lihat perkembangan petugas-petugas di Johor yang saya katakan tadi meningkat dari setahun ke setahun dan melebihi jangkaan jika dibandingkan dengan sewaktu Pilihanraya Kecil yang lain. Kalaulah semangat ini terus dibawa ke Johor bersama-sama pengalaman dan keyakinan yang diperoleh di Terengganu, maka tidak mustahil PAS dapat menawan Johor pada masa akan datang. Kerja keras, kurang tidur dan sanggup berkorban apa sahaja sewaktu di Terengganu perlu pula kita praktikan di Johor ini.

Apakah harapan Dato’ buat pemimpin, pendokong dan juga penyokong PAS negeri Johor?
Sebelum itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada PAS Pusat dan juga PAS Terengganu diatas kemenangan yang telah dicapai. Dan juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat terutamanya petugas-petugas yang berkerja siang dan malam serta memberikan komitmen dan keikhlasan mereka. Hanya Allah SWT sahajalah yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh mereka semua.
Harapan saya kepada pemimpin, pendokong dan juga penyokong PAS, diharapkan selepas ini kita bukan sahaja asyik melihat dan menumpang kejayaan orang lain sahaja, bahkan kita sendiri perlu mencipta kejayaan di negeri Johor ini. Saya sebagai pemimpin parti di negeri Johor ini, diingatkan kepada semua pemimpin samada diperingkat kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan, bahawa kita ini sedang berada dlam sebuah parti Islam, mestilah kita mmberikan wala’ kita yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan tertinggi kita. Kita perlu bekerja keras bermula daripada sekarang dan berjuang atas nama islam dan kerana Allah Ta’ala. Setelah kita berusaha dan berkorban, kita mesti tidak boleh lupa untuk memohon kepada Allah SWT agar diberikan kemenangan yang kita sentiasa harap-harapkan itu. Saidina Umar pernah berkata “ Tidak ada Islam kalau tidak berjamaah, tidak ada jemaah kalau tidak ada kepimpinan, dan tidak ada kepimpinan kalau tidak ada ketaatan”. Sebab itulah maka kita perlu melaksanakan apa yang telah diarahkan walaupun diperingkat mana-mana pun dengan penuh istiqamah dan iltizam.
*dipetik dari laman rasmi PAS Johor
Baca lagi...

25 Januari 2009

Perhimpunan Aman Membantah Kekejaman Yahudi Di Palestin




Sebagai meneruskan bantahan atas kekejaman Yahudi kepada rakyat Palestin, satu perhimpunan aman akan diadakan di Masjid Jamek Segamat pada 30 Januari 2009 (Jumaat), selepas Solat Jumaat.




Diminta semua ahli PAS Kawasan yang berdekatan agar dapat datang beramai-ramai untuk menyertai perhimpunan aman tersebut sebagai tanda sokongan dan simpati kepada rakyat Palestin yang dianiayai oleh rejim Yahudi.


"HIDUP ISLAM, JAHANAM YAHUDI!"
Baca lagi...

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, kepada seluruh rakyat berketurunan Cina. Semoga Tahun Baru Cina pada tahun ini akan membawa kehidupan yang lebih sejahtera, maju dan menguntungkan.

Sepertimana perayaan-perayaan lain, dengan penyertaan kaum-kaum lain akan dapat memahami budaya antara kaum dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum-kaum terutamanya dalam Pakatan Rakyat.
Baca lagi...

24 Januari 2009

Ucapan Tahniah Atas Kemenangan PAS Dalam Pilihanraya P036 Kuala Terengganu

  • Saya selaku Pesuruhjaya PAS negeri Johor ingin melahirkan rasa kesyukuran dan gembira atas kemenangan YB Tuan Haji Abdul Wahid Endut atas kemenangan cemerlang yang dicapai dalam pilihanraya kecil P036 pada 17 Januari 2009 yang lalu.
  • Saya bersama-sama dengan pimpinan dan ahli-ahli PAS seluruh negeri Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS dan seluruh saf pimpinan dan juga kepada YB Tuan Haji Abdul Wahid Endut yang mencapai kemenangan cemerlang pada pilihanraya yang lalu sekaligus membuktikan pengundi-pengundi di Kuala Terengganu tidak boleh digula-gulakan dan dijanjikan dengan pembangunan oleh Umno Barisan Nasional, akhirnya mereka dapat memilih antara hak dan kebatilan.
  • Diharapkan dengan kemenangan di Kuala Terengganu itu, akan menjadi isyarat bahawa PAS bersama dengan Pakatan Rakyat dapat diterima rakyat Malaysia seluruhnya dari berbagai-bagai keturunan dan pegangan agama dan seterusnya akan melebarkan kemenangan tersebut ke seluruh negara.
  • Bagi PAS negeri Johor mengharapkan dengan kemenangan tersebut akan memberi suntikan dan semangat baru pada ahli dan pemimpin PAS di semua peringkat untuk bekerja keras mulai dari sekarang bagi memastikan kemenangan PAS dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
  • Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada semua petugas-petugas pilihanraya daripada PAS negeri Johor, daripada semua peringkat, daripada JPN, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.
  • Pengalaman yang diperolehi sepanjang berada di Kuala Terengganu sangat-sangat berguna dan bermanfaat untuk dilaksanakan bila sampai masanya dalam pilihanraya ke 13 akan datang.
Baca lagi...

Pesuruhjaya PAS Johor Menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu


Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed sebagai ahli Majlis Syura Ulamak merangkap Pesuruhjaya PAS Johor, telah menyampaikan khutbah Jumaat sulungnya di Masjid Rusila, Marang Terengganu pada 16 Januari 2009 bersamaan 19 Muharram 1430H.



Antara kandungan khutbahnya ialah beliau menyeru seluruh umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran Barat yang memisahkan antara agama dan politik. Pemikiran tersebut bermula dengan gerakan penentangan antara gereja dan istana di zaman pertengahan di mana kekuasaan ahli-ahli agama bagi masyarakat Barat hanya dalam perkara spiritual manakala seluruh aspek kehidupan manusia yang lain diberikan kepada pihak istana dan kerajaan.




Sedangkan menurut ajaran Islam politik itu sebahagian daripada Islam. Oleh itu, jika seseorang itu menolak politik Islam bererti dia telah menolak Islam itu sendiri.


Pemikiran yang memisahkan antara agama dan politik itu pula telah dibawa masuk bersama-sama oleh penjajah yg menjajah negara umat Islam termasuklah Tanah Melayu dan Malaysia masa kini.



Yang lebih malang lagi, tegas beliau bahawa pemikiran tersebut masih menghantui sebahagian besar umat Islam di Malaysia kerana punca utamanya ialah pemimpin Umno terus mewarisi pemikiran Barat yang sesat dan menyesatkan. Dengan melaung-laungkan kononnya Islam tidak ada kena mengena dengan politik sedangkan pada hakikatnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi dan rasul, baginda juga sebagai seorang ketua negara Islam yang pertama dan sebagai ketua tentera dan ketua hakim disamping menjadi imam solat.



Akhirnya beliau menegaskan bahawa oleh kerana politik Islam itu sebahagian daripada Islam maka menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam untuk bersama-sama menyokong dan mendokong Parti Islam Semalaysia yang memperjuangkan kedaulatan Islam dan tidak sepatutnya berada dalam parti politik sekular yg memperjuangkan kebangsaan dan perkauman.
Baca lagi...

14 Januari 2009

Hari Penamaan Calon PRK - P36


PAS Johor turut tidak ketinggalan menyertai perarakan pada hari penamaan bagi memberikan sokongan moral kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut.

Suasana pada pagi tersebut amat meriah dengan bendera kedua-dua pihak yang bertanding (termasuk bendera PKR & DAP). Kesimpulan yang boleh saya buat berdasarkan suasana pada pagi tersebut ialah PAS telah menang 1-0. Walaubagaimanapun, harus diingat, penentunya tetap pada undi yang dibuang.

Dari segi populariti dan peribadi calon PAS, Insya-Allah kita tidak ada masalah untuk mendapat kemenangan mutlak pada hari pembuangan undi nanti. YB Wahid Endut ialah ADUN bagi DUN Wakaf Mempelam selain sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu. Beliau juga pernah menjadi Exco kerajaan negeri semasa PAS memerintah Terengganu 1999-2004. Beliau juga mempunyai rekod bersih selama menjadi ADUN dan Exco.

Sama-samalah kita berusaha ke arah kemenangan PAS. Takbir!!!
Baca lagi...

13 Januari 2009

Demonstrasi anti-Israel


Pada 2hb Januari lepas, BPPNJ telah berjaya menganjurkan demonstrasi anti rejim Yahudi-Israel dan sekutunya di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Program ini bermula selepas masyarakat Islam selesai menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.
Saudara Rosli Kemin (Yang Dipertua PAS Johor Bahru) selaku pengerusi himpunan telah memulakan program dengan ucapan mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh rejim Yahudi-Israel. Slogan-slogan anti-Israel dilaungkan dan diselangi dengan pekikan takbir oleh orang ramai. Bagi menunjukkan sokongan, orang ramai yang hadir turut mengangkat sepanduk dan poster mengutuk kekejaman rejim Israel tersebut.
Saya juga tidak ketinggalan menyertai demonstrasi ini. Selain saya, saudara Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat), saudara Zulkifli Ahmad (Timb. Pesuruhjaya PAS negeri), kepimpinan PAS peringkat negeri yang lain, wakil dari PKR dan badan bukan kerajaan (NGO) juga turut serta untuk menunjukkan solidariti rakyat Johor juga bersama dengan perjuangan rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan hak. Para pemimpin PAS Johor seterusnya berucap mengutuk serangan ganas tentera rejim Zionis ke atas umat Islam Palestin yang turut membunuh wanita dan kanak-kanak. Umat Islam di Malaysia juga diseru tanpa mengira batasan fahaman politik agar bersatu dalam mengutuk serangan ganas tersebut.
Saya kemudiannya membacakan doa untuk kesejahteraan rakyat Palestin, sebelum diakhiri dengan pembakaran bendera negara haram Israel. Perhimpunan ini berakhir kira-kira jam 2.30 petang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.


Baca lagi...