24 Januari 2009

Pesuruhjaya PAS Johor Menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu


Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed sebagai ahli Majlis Syura Ulamak merangkap Pesuruhjaya PAS Johor, telah menyampaikan khutbah Jumaat sulungnya di Masjid Rusila, Marang Terengganu pada 16 Januari 2009 bersamaan 19 Muharram 1430H.



Antara kandungan khutbahnya ialah beliau menyeru seluruh umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran Barat yang memisahkan antara agama dan politik. Pemikiran tersebut bermula dengan gerakan penentangan antara gereja dan istana di zaman pertengahan di mana kekuasaan ahli-ahli agama bagi masyarakat Barat hanya dalam perkara spiritual manakala seluruh aspek kehidupan manusia yang lain diberikan kepada pihak istana dan kerajaan.




Sedangkan menurut ajaran Islam politik itu sebahagian daripada Islam. Oleh itu, jika seseorang itu menolak politik Islam bererti dia telah menolak Islam itu sendiri.


Pemikiran yang memisahkan antara agama dan politik itu pula telah dibawa masuk bersama-sama oleh penjajah yg menjajah negara umat Islam termasuklah Tanah Melayu dan Malaysia masa kini.



Yang lebih malang lagi, tegas beliau bahawa pemikiran tersebut masih menghantui sebahagian besar umat Islam di Malaysia kerana punca utamanya ialah pemimpin Umno terus mewarisi pemikiran Barat yang sesat dan menyesatkan. Dengan melaung-laungkan kononnya Islam tidak ada kena mengena dengan politik sedangkan pada hakikatnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi dan rasul, baginda juga sebagai seorang ketua negara Islam yang pertama dan sebagai ketua tentera dan ketua hakim disamping menjadi imam solat.



Akhirnya beliau menegaskan bahawa oleh kerana politik Islam itu sebahagian daripada Islam maka menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam untuk bersama-sama menyokong dan mendokong Parti Islam Semalaysia yang memperjuangkan kedaulatan Islam dan tidak sepatutnya berada dalam parti politik sekular yg memperjuangkan kebangsaan dan perkauman.

Tiada ulasan: