Saya bagi pihak PAS Johor, pertamanya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan kemenangan kepada PAS melalui calonnya YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar Perak (yang sah), dalam pilihanraya kecil P059 Bukit Gantang baru-baru ni.
Saya juga mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Ustaz Haji Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Perak dan khususnya kepada YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin di atas kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK baru-baru ni.
Dengan kemenangan ini membuktikan rakyat di Bukit Gantang khususnya dan rakyat Perak umumnya telah memberi sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat, sekaligus menolak UMNO dan BN yang telah banyak melakukan kezaliman, salah guna kuasa dan penindasan, terutamanya kes rampasan kuasa yang telah dilakukan oleh mereka terhadap kerajaan PR pimpinan YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin.
Saya menyeru kepada kepimpinan UMNO dan BN supaya sedar dan insaf bahawa rampasan kuasa yang dilakukannya itu melanggar prinsip-prinsip demokrasi dan undang-undang yang diamalkan di Malaysia sehingga menyebabkan keadaan di Perak bercelaru dan tidak tentu arah dan mengelirukan orang ramai dengan adanya dua orang Menteri Besar dalam satu negeri.
Sepatutnya jika mereka hendak mengambil alih kuasa, mereka boleh samada mengemukakan undi tidak percaya kepada YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin di Persidangan Dun Perak atau memohon perkenan Tuanku Paduka Sultan Perak untuk membubarkan DUN atau jika YAB Dato' Seri Nizar dengan kerelaannya sendiri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Walaubagaimanapun hingga sekarang ketiga-tiga perkara tersebut tidak berlaku maka sahlah Dato' Seri Nizar masih kekal sebagai Menteri Besar Perak.
Dengan kemenangan Dato' Seri Nizar dalam PRK Bukit Gantang ini juga menjadi bukti jelas bahawa rakyat Perak khususnya pengundi-pengundi di Bukit Gantang begitu sayang dan menyokong penuh apa juga tindakan yang dilakukannya sebagai Menteri Besar dan sekaligus menolak UMNO dan BN. Maka tidak ada jalan lain bagi menyelesaikan krisis politik di negeri Perak melainkan dengan membubarkan DUN dan menyerahkan balik kepada rakyat Perak untuk memilih wakil rakyat mereka dengan mengadakan pilihanraya kecil di seluruh negeri.
Saya turut berada di kawasan parlimen Bukit Gantang lebih daripada 10 hari untuk mengepalai dan memantau petugas-petugas daripada PAS negeri Johor bagi membantu kempen pilihanraya yang diadakan dengan bermacam-macam cara dan pendekatan, di antaranya dengan berkempen dari rumah ke rumah, mengadakan jamuan rakyat dengan diselangi majlis sembang-sembang petang, dan mengadakan majlis-majlis ceramah kelompok terus kepada sasarannya.
Apa yang menarik perhatian saya ialah sokongan daripada masyarakat bukan Islam yang telah memberikan sokongan secara terang-terang, dengan kata-kata seperti kami sokong PAS, kami tak takut PAS, kami terima hukum hudud dan bermacam-macam lagi ungkapan. Malahan sehingga hari mengundi 7hb April lalu, yang secara kebetulan saya diamanahkan untuk memantau di SRJK(C) Pau Eng, dengan riak muka mereka semasa membuang undi saya dapat menyelami hati mereka bahawa kebanyakkan pengundi bukan Islam memberi undi mereka kepada Dato' Seri Nizar, malahan ada bekerja begitu keras sekali untuk memastikan pengundi cina keluar membuang undi dengan mengambil pengundi semasa dengan menggunakan kereta, motosikal, basikal dan lain-lain sehingga ke saat akhir sebelum pusat pengundian ditutup.
Satu lagi perkara yang sangat menarik dan membanggakan saya ialah lahirnya beberapa YB dari DAP Perak yang boleh membaca beberapa potong ayat Al-Quran walaupun mereka belum fasih lagi dan ramai lagi yang memetik terjemahan ayat-ayat Al-Quran. Ini adalah hasil dari kerjasama dan hubungan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat yang baru terjalin dalam masa tidak sampai 1 tahun. Saya pernah bersama-sama dengan beberapa YB dari DAP dalam satu ceramah kelompok. Di antara mereka ada yang tengah menjelaskan isu yang dimainkan oleh UMNO/BN, kononnya Dato' Seri Nizar hanya memberi geran tanah kepada orang-orang cina sahaja lalu beliau menjelaskan secara terperinci iaitu Dato' Seri Nizar bukan sahaja memberi geran kepada orang-orang cina bahkan juga kepada orang-orang melayu yang keluasan tanahnya lebih besar lagi dan katanya Pakatan Rakyat memberi geran tanah itu kepada golongan miskin yang tidak mempunyai tapak tanah untuk kediaman tetapi kata YB itu ia berbeza dengan UMNO/BN yang mengurniakan tanah yang luas pada tauke-tauke cina seperti di Genting Highland, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan lain-lain. Untuk menguatkan hujah-hujahnya, YB tersebut memetik terjemahan ayat Al-Quran, surah al-Hasyar ayat 7 :"....(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu...". YB cina itu mampu menyebutkan ayat Al-Quran walaupun belum fasih dan menyebut terjemahannya itu untuk dijadikan hujah bahawa kekayaan itu tidak patut diberikan hanya kepada orang kaya seperti yang dilakukan oleh UMNO/BN terhadap tauke-tauke cina tetapi kepada orang-orang miskin dan yang tidak berkemampuan UMNO/BN merampas tanah-tanah mereka.
Sebutan tidak fasih oleh YB cina itu bukan bertujuan untuk memperbodohkan orang-orang Islam seperti yang dilaporkan oleh seorang mufti negeri, jauh sekali untuk mempersendakan Al-Quran. Semasa beliau berucap, saya ada di situ dan mendengar sendiri. Ucapannya tidak langsung menyinggung perasaan orang Islam, bagi orang Islam yang hadir ketika itu ialah perasaan malu dan bangga kerana seorang cina bukan Islam boleh membaca dan memahami sebahagian daripada isi kandungan Al-Quran.
Bagaimana pula pandangan mufti terhadap orang-orang Islam yang fasih membaca Al-Quran tetapi tidak mahu menghayatinya malahan mempersendakan dan menghina Al-Quran dengan kata-kata seperti, "Kalau melaksanakan hukum Hudud akan berlaku huru hara", "Undang-undang Islam ketinggalan zaman tidak sesuai dijalankan di Malaysia", "Kalau nak hirup sup tangan dan kaki pergilah ke Kelantan". Terlalu banyak bentuk mempersendakan dan menghina Islam yang dilakukan oleh orang-orang UMNO terutama para pemimpinnya. Sepatutnya kita bersyukur banyak kerana sudah ada dikalangan bukan Islam yang boleh membaca Al-Quran walaupun belum fasih dan tidak takut pula mereka pada perjuangan Islam.
UMNO yang telah berkawan lebih dari 50 tahun dengan MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, "Apa yang telah kamu ajar kepada mereka?" Orang bukan Islam di dalam BN begitu tebal memusuhi Islam kerana UMNO tidak pernah berdakwah kepada mereka. Malahan UMNO sentiasa menakut-nakutkan kepada mereka tentang Islam. Manakala, PAS yang baru berkawan dengan DAP yang berusia setahun jagung, mereka telah boleh membaca Al-Quran walaupun tidak fasih dan boleh pula disertkan sekali dengan terjemahannya sebagai hujah untuk menjawab tohmahan UMNO.
Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada petugas-petugas PAS dari negeri Johor terutamanya Pengarah Operasi dan seluruh anggotanya yang telah bekerja bertungkus lumus tidak mengenal penat lelah membantu jentera pilihanraya PAS Perak bagi memastikan kemenangan calon PAS, tidak ketinggalan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Hj. Mansur, Pengerusi Surau Al-Ma'ruf di Taman Mawar 2, Simpang dan seluruh AJKnya yang telah memberikan kerjasama dan pertolongan kepada petugas-petugas dari Johor serta membenarkan kami berkhemah di Surau tersebut begitu juga kepada Ketua UPU Pengkalan Aur dan kepimpinannya yang telah memberikan kerjasama yang penuh dan tunjuk ajar kepada petugas-petugas kami.
Saya juga ingin menghulurkan sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya saya dan petugas-petugas kami dari Johor ada melakukan kesalahan dan kesilapan semasa samada secara sengaja atau tidak sepanjang kami berada Surau Al-Ma'ruf dan segala makan minum minta sama-sama dihalalkan. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Ilahi semoga kerja-kerja yang tidak seberapa ini diterima Allah sebagai amal soleh, mendapat keberkatan dan diredhai oleh Allah s.w.t.
TAKBIR!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan