07 Julai 2009

Tolak Debat, Bimbang PAS Bogelkan Dasar UMNO

Oleh Tarmizi Mohd Jam, Salmiyah Haron & Anis Nazri

Debat Terbuka antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mungkin akan mencipta sejarah kedua – selepas Debat Anwar-Shabeery Chik jika Najib tidak gentar menyahut cabaran itu.
.
Hanya melalui debat terbukalah satu-satunya peluang Najib untuk menyangkal dakwaan Tok Guru Nik Aziz bahawa UMNO-BN bukannya sesat sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Kelantan.
.
Najib sebagai orang pertama dalam kerajaan wajar mencuri peluang keemasan ini untuk mempertahankan dasar perjuangan UMNO-BN dan membuktikan kepada rakyat dasar UMNO dan BN bukan sebagaimana yang didakwa “sesat” oleh Menteri Besar Kelantan itu.
.
Hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda UMNO negeri membuat aduan polis 23 Jun berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.
.
Aduan itu dibuat oleh Ketua Pemuda, Anuar Safian, di Balai Polis Kota Bharu jam 10:30 pagi dengan diiringi kira-kira 100 anggota pergerakan itu yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan PAS bekerjasama dengan DAP dan KeADILan.
.
Ekoran tindakan Pemuda UMNO itu, Tuan Guru Nik Aziz turut membuat draf surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri untuk mengadakan perdebatan berkenaan isu yang dibangkitnya dalam ceramah di Manek Urai itu.
.
Bagi Tok Guru Nik Aziz antara jalan terbaik untuk menyelesaikan isu PAS-UMNO wajar dibincangkan secara berdepan, perkara itu tidak akan selesai dengan menggunakan media.
.
Namun, mantan Perdana Menteri yang menjadi mentor Najib, Tun Mahathir cepat-cepat memberi respons agar Najib tidak melayan cabaran Tok Guru Nik Aziz sebaliknya menyifatkan debat terbuka itu hanya membazirkan masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata.
.
Alasan mentor Najib itu, bagi Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed hanya menggambarkan UMNO tidak berani berdepan dengan Tok Guru Nik Aziz.
.
“Kalau UMNO tidak boleh menerima dakwaan Mursyidul Am PAS itu, sepatutnya mereka kena terima cabaran debat bagi membersihkan nama baik kononnya UMNO dikatakan sesat,” katanya ketika dihubungi.
.
Al-Quran, hadis atau sunnah seharusnya menjadi asas kepada perjuangan Islam begitu juga kerajaan yang dilabelkan sebagai kerajaan Islam. Oleh yang demikian, asas itulah yang menjadi pegangan kepada perjuangan Islam, apabila orang Islam tidak ikut asas itu maka orang itu dalam golongan sesat, tegas Dr Mahfodz.
.
Katanya, sikap keterbukaan PAS melihat UMNO dan PAS adalah sesama Islam dan apabila berdebat bukan sahaja menggunakan akal fikiran tetapi rujukan utama adalah al-Quran dan sunnah.
.
Mengulas tuduhan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Dato’ Dr Kamarudin Kachar yang mendakwa kononnya Tok Guru Nik Aziz bukan pejuang Islam sebenar, Dr Mahfodz menyifatkan tuduhan liar itu keterlaluan. Sebaliknya beliau yakin, apa yang diperjuangkan oleh MB Kelantan itu adalah perjuangan Rasulullah SAW.
.
(Dipetik daripada Harakah / Fikrah Bil 1452 / 10-12 Rejab 1430H / 3-5 Julai 2009, F18)

Tiada ulasan: