21 Ogos 2009

UMNO TAK PERTAHAN MELAYU, APATAH LAGI ISLAM

KUALA LUMPUR : Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed mendakwa perjuangan UMNO menyimpang jauh daripada dasar Islam dan parti itu bukan sahaja tidak pertahankan bangsa Melayu malah membiarkan Islam tanpa haluan.

Oleh sebab itu dakwanya, tidak hairan kalau UMNO tidak menghormati fatwa yang dikeluarkan mufti kerajaan yang didokong mereka sendiri kerana bagi mereka Islam itu sebagai topeng saja.

“Hanya di kulit yang mereka pegang Islam, yang lain suku-suku dan mana yang mereka hendak, dia ambil dan mana yang tidak mahu, mereka buang,” katanya semasa dihubungi Harakah.

Dakwanya, banyak isu-isu yang menghina Islam termasuk kes murtad di kalangan orang Melayu tidak dipedulikan UMNO. Sebalik beliau berkata, PAS yang tidak mempunyai kuasa autoriti melakukan bantahan untuk menyelamatkan orang Melayu supaya tidak mudah dipesong akidahnya oleh musuh Islam.

Malah katanya, dalam kes penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, orang UMNO dilihat tidak berani melakukan apa-apa tindakan.

“Orang PAS juga yang bertindak biarpun tidak ada apa-apa kuasa tetapi kita tunjukkan kepada masyarakat yang PAS pertahankan Islam.”

Tambahan pula katanya, selari dengan Perlembagaan PAS yang mendidik masyarakat Islam untuk memahami Islam. Katanya, tidak masuk akal jika UMNO mendakwa Pakatan Rakyat yang mengkhianati Melayu selama ini.

Beliau berkata, sejak merdeka cuti hari minggunya di negeri Johor jatuh pada Jumaat tetapi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar dahulu beliau menukarnya kepada hari Ahad.

Tindakan tersebut katanya, seolah-olah tidak mahu iktiraf hari Jumaat hari minggu dalam Islam. Beliau mendakwa UMNO bukan saja tidak pertahan Islam malah bangsa Melayu pun direndah-rendahkan.

Ini jelasnya, dalam isu Bahasa Melayu dipertikaikan UMNO apabila dasar PPSMI dilaksanakan biarpun mendapat tentangan rakyat.

“Jika bangsa Melayu pun UMNO tidak pertahankan, jauh sekali dengan agama Islam,” tegasnya.

Dr. Mahfodz menegaskan, ramai orang Melayu melanggar hukum hakam Islam, contohnya minum arak, berjudi, tidak menutup aurat, dilekakan dengan program-program hiburan yang keterlaluan dan ini semua kerana UMNO tidak mahu ikut al-Quran dan Sunnah sebagai dasar pentadbiran.

(Fikrah Bil. 1466, 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430, 21-23 Ogos 2009)

Tiada ulasan: