27 Jun 2009

Syukur, Keputusan Legakan Hati Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamad berkata, keterlanjuran PAS dalam menghadapi isu kerajaan perpaduan sekali gus telah memperlihatkan kepura-puraan Umno kononnya untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Umnolah antara yang paling kecewa dengan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dengan bermacam-macam tohmahan termasuklah mengatakan PAS penakut.

"Umno tohmah kita mengatakan kita takut dengan Pakatan Rakyat sebab itulah mereka beriya-iya sangat hendak mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya semasa dihubungi.

Sebenarnya, kata Ustaz Mahfodz, PAS dalam masa yang sama boleh melihat sejauh mana hati budi serta keikhlasan Umno dalam merealisasikan agenda itu.

"Tetapi akhirnya PAS melihat hati budi Umno sebenarnya. Nampaknya Umno sudah terlalu terlajak dalam memberi respons dalam isu ini. Sehingga surat khabar yang tidak pernah memuji PAS akhirnya terlalu memuji PAS dan Umno pula sanggup menawarkan bermacam-macam syarat untuk menarik PAS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur atas keputusan majlis Pakatan Rakyat dan juga Majlis Syura PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor juga bersyukur kerana keputusan itu melegakan semua pihak di peringkat akar umbi yang selama ini 'susah hati' kerana mainan politik umno yang sengaja mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah.

"Keputusan itu sekaligus menyatupadukan semula PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ahli dan penyokong PAS dari peringkat bawah hinggalah ke atas," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pimpinan parti itu jangan mudah terpedaya dengan mainan politik Umno BN sekali gus berbincang terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi mereka sebelum memberi reaksi sesuatu perkara.

"Apabila ada keputusan pimpinan tertinggi, mereka diperingkat bawah akan taat setia dengan keputusan itu," katanya. Selepas ini ahli dan penyokong PAS menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Manek Urai.
Baca lagi...

21 Jun 2009

Kenyataan Akhbar

Ada 3 perkara yang saya hendak sebutkan dalam sidang akhbar hari ini.

Pertamanya, kepimpinan PAS Johor sesi 2009-2011, mengenai pasukan yang akan membantu saya dalam menerajui BPPN Johor, tiada apa-apa perubahan. Mereka terus dikekalkan jawatan-jawatan seperti berikut;


Tuan Hj. Aminulhuda Hassan - Timbalan Pesuruhjaya I

Ustaz Atan Hj. Gombang - Timbalan Pesuruhjaya II

Tuan Hj. Dzulkifli Ahmad - Timbalan Pesuruhjaya III

Tuan Hj. Amin Sairan - Setiausaha

Tuan Hj. Mustafa Abd Rahman - Bendahari

Saudara Mazlan Aliman - Ketua Penerangan

Dan 7 orang ahli BPPNJ


Yang keduanya, mengenai Pakatan Rakyat. Dalam mesyuarat sebentar tadi, PAS Johor telah memutuskan untuk mengekalkan dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Ini selaras dengan ketetapan muktamar PAS 2008 di Ipoh, Perak. Untuk tujuan ini, parti-parti dalam Pakatan Rakyat Johor telah bersetuju supaya setiap program yang dianjurkan oleh PAS, PKR & DAP hendaklah disertai bersama oleh wakil-wakil daripada parti tersebut. Sebagai tanda kebersamaan kita, maka satu program ceramah Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29-Jun-09, di Markas PAS Bakri. Mereka yang telah dijemput untuk menyampaikan ceramah pada program tersebut ialah YB Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin (Timbalan PJ PAS Perak), YB Dr. Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor), dan Tuan Hj. Anuar Salleh (Pengerusi PKR Johor).

Hasil dari persefahaman yang mantap oleh Pakatan Rakyat Johor, kita telah dapat menembusi kubu kuat UMNO/BN dan Pakatan Rakyat dapat menawan 6 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen, yang manu 2 kerusi DUN adalah dari PAS manakala selebihnya adalah dari DAP. Saya yakin dengan diperkukuhkan Pakatan Rakyat, bukan sahaja kita dapat menawan beberapa kerusi DUN dalam PRK-13 nanti, bahkan tidak mustahil Pakatan Rakyat Johor Insya-Allah akan dapat merampas daripada UMNO/BN untuk memerintah negeri Johor.

Dan yang ketiganya ialah berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan (Unity Government). Mengenai isu perpaduan, adalah lebih baik kita tunggu penjelasan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang kerana esok akan berlangsung mesyuarat AJK PAS Pusat yang sudah tentu akan membincangkan perkara tersebut. Dalam ingatan saya, perkara ini belum dibincangkan secara mendalam baik di peringkat AJK PAS Pusat mahupun Majlis Syura Ulamak (Consultative Council of Religious Scholars).

Mandat yang diberikan oleh Majlis Syura Ulamak kepada pimpinan tertinggi PAS hanyalah untuk berbincang dengan mana-mana pihak untuk kepentingan ummah. Ini selaras dengan peranan PAS sebagai gerakan dakwah yang memang sentiasa digalakkan untuk menyeru semua pihak untuk mendekati dan memahami Islam sedangkan membuat perbincangan dengan UMNO mengenai penubuhan kerajaan perpaduan belum lagi diputuskan oleh kedua-dua badan tertinggi PAS tersebut. Lagi pun, isu kerajaan perpaduan tidak disentuh langsung dalam ucapan dasar Presiden dalam muktamar PAS yang ke-55 di Shah Alam tempoh hari. Oleh kerana isu ini besar dan melibatkan dasar parti, maka perlulah ianya diputuskan oleh AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak. Selepas itu jika perlu, ianya perlulah di bawa ke muktamar khas untuk mendapat keputusan muktamad daripada ahli-ahli PAS.

Dato' Dr. Mahfodz Mohamed
PESURUHJAYA PAS NEGERI JOHOR
21hb Jun, 2009
Baca lagi...

20 Jun 2009

Forum bersama Presiden PAS di London

Saya peroleh video ini setelah diberitahu oleh anak saya. Forum ini adalah anjuran Malaysian Overseas Forum.

Apa yang menarik adalah Tuan Guru Dato Seri Hj Abd Hadi Awang juga ada mengulas mengenai "Kerajaan Perpaduan" yang menjadi isu hangat yang dimainkan oleh semua media arus perdana. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk melaga-lagakan para pemimpin dan ahli-ahli PAS bagi memperoleh keuntungan kepada UMNO/BN dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai tidak lama lagi.

Semua orang sudah sedia maklum, Tuan Guru Dato Seri Hj Abd Hadi Awang telah membuat kenyataan bahawa idea "Kerajaan Perpaduan" ini telah ditutup sebaik sahaja Dato Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bagi mereka yang masih musykil tentang "Kerajaan Perpaduan", jawapannya ada pada pautan -Part 7.

Selamat menonton!


p/s: Tarikh sebenarnya ialah 13hb Jun, 2009 (bukan 2008). Harap maklum.

Baca lagi...

14 Jun 2009

Wawancara Harakah Bersama Naib Ketua Dewan Ulama Yang Baru

ULAMA, PROFESIONAL MENUJU KERJASAMA YANG MANTAP



Isu kepimpinan ulama dan perbezaannya dengan profesional menyinggung banyak pihak menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-55 minggu lalu. Harapan semua pihak ingin melihat kesatuan antara kedua-duanya termasuk para aktivis yang menjulang parti selama ini. Kini, saf kepimpinan kembali berpadu untuk menghadapi musuh yang satu iaitu UMNO-BN. Menjolok persoalan ini, wartawan Harakah INTAN ABDULLAH mengajukan beberapa soalan kepada Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang baru, Dato' Dr Mahfodz Mohamad untuk dikongsi bersama.
.
HARAKAH : Apa misi Dato' sebagai Naib Ketua Dewan Ulama yang baru dalam memperkasakan dewan ini pada sesi akan datang?


DATO' DR MAHFODZ : Sebenarnya portfolio tugas-tugas masih belum diagih-agihkan lagi. Kita akan bermesyuarat pada 18 Jun akan datang. Jadi, pada mesyuarat tersebut akan diberikan portfolio tertentu dalam jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat.
.
HARAKAH : PAS masih lagi dimomokkan dengan isu perbezaan antara ulama dan profesional. Bagaimana Dewan Ulama boleh berperanan menjernihkan isu ini?

DATO' DR MAHFODZ : Saya ingat selepas pemilihan pimpinan yang baru, kebanyakan perwakilan meminta supaya tidak ditimbulkan lagi tentang golongan ulama dan profesional kerana kita rasa benda itu telah lama diuar-uarkan sejak daripada almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor sendiri yang memaklumkan agar kedua-dua golongan itu bekerjasama antara satu sama lain.


Ulama perlu diprofesionalkan dan profesional perlu diulamakan. Ini supaya dengan pendekatan itu akan mengakrabkan lagi kedua-dua golongan tersebut tetapi ulama sekarang jauh berbeza dengan ulama dahulu kerana ulama sekarang sesetengahnya sudahpun menjadi profesional.


Kalau umpamanya dia juga terlibat dalam bidang perniagaan, ulama macam saya sendirilah yang bekerja sebagai profesor, pensyarah, pentadbir jadi dengan pengalaman itu menunjukkan ia sudah layak dikatakan sebagai ulama profesional. Begitu juga sebaliknya dengan profesional.


Walaupun dia tidak terdidik dalam sekolah agama atau fakulti Islam dan sebagainya tetapi dengan pentarbiyahan yang cukup lama dan pengalaman, maka ia tidak perlu dibeza-bezakan. Maka pada pandangan saya, profesional itu sudah ada asas-asas yang kuat. Dia memahami dan menghayati Islam.
.
HARAKAH : Pada pandangan Dato', apakah perlu istilah ulama dan kepimpinan ulama ditakrif semula seperti syor pada Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama baru-baru ini?


DATO' DR MAHFODZ : Kebetulan semasa seminar itu saya tiada di sini jadi saya tidak dapat menyertai sepenuhnyalah. Cuma, pada pandangan saya, saranan itu memang wajarlah diambil perhatian tentang istilah-istilah itu.


Istilah ulama ini terdapat bermacam-macam takrifan yang diberikan. Ada sesetengah itu dikatakan sebagai ulama tradisional, ulama yang mengikuti pendidikan secara formal di sekolah Arab, Universiti Islam dan sebagainya. Dari satu segi, terdapat juga takrifan ulama itu adalah ilmuan Islam yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam bidang pendidikan Islam.


Jadi untuk memberikan takrifan yang lebih tepat, wajar sangat kita mengambil perhatian dalam seminar kepimpinan ulama itu.


Tetapi pada saya, takrif kepimpinan ulama itu saya ingat ianya telah jelas seperti mana yang saya sebutkan dahulu. Maknanya kempimpinan ulama dalam PAS ini bukan hanya terhad kepada ilmuan Islam sahaja.


Pasal ulama pun kalau dulu lebih luas, lulusan empat thanawi pun sudah boleh dianggap ulama. Begitulah juga pada hari ini ulama yang ada kelulusan, berktrampilan, berkemampuan, berwibawa dan juga ulama yang sebenar seperti mana yang dikatakan oleh Allah ialah ulama yang memiliki sifat takwa iaitu bermaksud sesungguhnya yang takut kepada Allah adalah ulama yang bertakwa. Sudah tentulah tidak cukup dengan ulama bertakwa, yang berilmu dan yang beramal dengan amalan Islam.

.

HARAKAH : Dalam Dewan Ulama terdapat Unit Ulama Muda yang mempunyai komponen iaitu ulama pelapis dan ulama teras. Boleh Dato' jelaskan?


DATO' DR MAHFODZ : Sebenarnya kewujudan ulama pelapis telah lama ada. Malahan ada satu jawatankuasa Lajnah Ulama Pelapis. Itulah juga ulama muda. Mereka inilah yang akan menarik ulama-ulama muda untuk mendalami Dewan Ulama.
.
HARAKAH : Jadi, bagi saya tiada beza antara ulama muda, ulama pelapis dan ulama teras. Ulama muda dan Ulama pelapis itu adalah satu nama, cuma istilah berbeza kerana ulama pelapis ini adalah satu lajnah dalam Dewan Ulama untuk menarik ulama-ulama muda yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada di dalam mahupun di luar negeri.


DATO' DR MAHFODZ : Ulama pelapis ini apabila ia telah mantap, berketrampilan dan ada kemampuan maka mereka itulah yang akan mengambil alih kepimpinan ulama yang ada. Ini sanga perlu supaya kesimambungan kepimpinan diteruskan malah ada juga suara-suara bahawa ulama pelapis ini bukan sahaja di kalangan muslimin, bahkan ada juga ulama-ulama muslimat.


Dan ia telah lama dilaksanakan. Muktamar kita kali ini disertai oleh perwakilan daripada kalangan ulama muslimat ini. Kemungkinan kita boleh cadangkan, memang telah ada pun dilantik di kalangan ulama muslimat ini untuk menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat.
.
HARAKAH : Tetapi, umum melihat barisan kepimpinan ulama yang baru ini tidak menonjolkan ulama muda, sebaliknya ia masih mengekalkan saf kepimpinan yang lama (dah berumur) dan tiada dilihat perubahannya...


DATO' DR MAHFODZ : Itu saya tidak boleh komen kerana saf kepimpinan yang ada sekarang ini telah dipilih oleh perwakilan. Cuma saya nampak memang ada ulama muda contohnya Ustaz Zawawi Salleh daripada Terengganu itu dikira masih muda lagi, mungkin di bawah 40 tahun dan ada dua tiga orang lagi.


Oleh kerana ada tentangan daripada perwakilan yang hanya terhad kepada empat orang sahaja, itu mungkin yang telah senior. Tetapi dalam pada itu, kita boleh melantik daripada kalangan yang tidak terpilih itu, mungkin untuk diisi dengan ulama-ulama muda tadi.
.
HARAKAH : Apa komen Dato' mengenai usul Dewan Ulama yang mahukan peruntukan diberikan kepaa ulama bagi jawatan Presiden, Timbalan dan salah satu kerusi Naib Presiden yang akhirnya ditolak oleh Jawatankuasa Penapis Usul?


DATO' DR MAHFODZ : Mungkin perkara itu tidak terhenti di situ sahaja. Apa yang telah dijelaskan oleh Dato' Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Penapis Usul-usul itu, pada pandangan saya usul itu tidak ditolak dan tidak diterima.


Sebelum usul itu dibawa ke dalam muktamar ia telah dibawa ke dalam Jawatankuasa PAS Pusat untuk meneliti lebih mendalam lagi kerana ianya melibatkan kepada pindaan perlembagaan.


Jadi, saya tidak boleh komen kerana usul itu telah pun dibawa oleh Dewan Ulama Terengganu dan juga setakat ini kalau Dewan Ulama hendak bawa juga, mungkin mereka akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa Dewan Ulama yang pertama nanti.


Oleh kerana pada pandangan saya usul itu memang agak panas, lebih-lebih lagi perwakilan sudah matan dan kalaupun tidak dibahaskan perwakilan telah memberikan skolongan pada pemilihan sebagaimana yang dihajatkan oleh Dewan Ulama iaitu Timbalan Presiden sekaran ini adalah di kalangan ulama, salah satu daripada Naib Presiden pun ulama juga.


Jadi, apa yang penting bagi ulama itu mestilah seseorang yang memiliki kriteria seperti itu. Maka dengan sendirinya para perwakilan sudah matang, mereka boleh menilai walaupun usul tersebut tidak diterima. Maknanya perwakilan dapat memahami kehendak dan konsep kepimpinan ulama itu.
.
HARAKAH : Apa pendapat Dato' mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Ulama pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai bulan depan?


DATO' DR MAHFODZ : Seperti mana seperti yang lepas, ulama memang memberikan kerjasama untuk memastikan kemenangan calon kita dan untuk itu, Dewan Ulama akan bermesyuarat di Kota Bharu di mana pilihan raya kecil Manek Urai itu akan diadakan.


Ia adalah bertujuan supaya kita lebih fokus dan lebih dekat dengan mendengar taklimat secara detail daripada Dewan Ulama PAS Kelantan. Ini menunjukkan Dewan Ulama PAS Pusat bersama-sama mendokong dan menyokong dalam memastikan kemenangan calon kita di Manek Urai.


Bukan maknanya ulama hanya bermunajat, menunaikan solat hajat, berdoa tetapi kita akan sama-sama turun padang di kawasan itu. Sebab ini juga pernah dibangkitkan oleh perwakilan Dewan Ulama dalam laporan tahunan seoalah-olah Dewan Ulama hanya untuk mengadakan aktiviti-aktiviti itu sahaja.


Jadi, mesyuarat itu membuktikan bahawa ulama bukan hanya untuk program spiritual dan kerohanian, tetapi dari segi yang lain kita juga bersama-sama AJK PAS Pusat untuk turun padang menemui pengundi-pengundi kita bagi memastikan ulama sama-sama aktif dalam memenangkan calon kita di Manek Urai nanti.


Dipetik daripada : Harakah (Fikrah Bil. 1447) (21-24 Jamadil Akhir 1430H / 15-18 Jun 2009M)
Baca lagi...