16 Julai 2009

Kezaliman ISA Terdedah di Sidang Hak Asasi PBB, Geneva

“SAYA sangka Malaysia sebuah syurga …,” kata Julunya dari Sudan. “Semua orang sukakan Malaysia, kami tak tahu ada akta seperti ini di negara kamu,” kata Hammara yang berasal dari Pakistan tetapi menetap di London.
“Saya tak sangka ISA begitu kejam bagi sebuah negara yang berimej Islam seperti Malaysia,” kata Deena, seorang aktivis hak asasi dari Mesir.
Demikianlah antara komen terus terang kepada saya sebaik saja ucapan dua minit di Konvensyen Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tamat.
Peserta wanita memelukku sebagai tanda simpati manakala yang lelaki memandang dari jauh dan menganggukkan kepala tanda sokongan terhadap ucapan itu. Saya rasa terharu dan hiba dengan respons mereka.


Tidak pernah terlintas

Sejak melibatkan diri dalam kempen anti-ISA bersama Gerakan Mansuh ISA (GMI), tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa suatu hari nanti, saya berpeluang menyatakan kezaliman ISA dalam sebuah dewan yang tersohor di Persidangan PBB, Geneva.
Begitu juga selama ini, saya tidak pernah terfikir akan begitu sabar menanggung perasaan sebagai seorang wanita yang ketiadaan suami dan pada masa sama menghadapi karenah dan kejahatan akta tahan tanpa bicara ISA ini sehingga tujuh tahun lamanya. Saya yakin, semuanya terjadi dengan izin Allah.
Kehadiranku di ‘Human Rights Council Eleventh Session’ di PBB sesi Jun 2009 ini adalah satu kesinambungan daripada kempen ‘menulis surat’ selama enam bulan pada sepanjang tahun 2008.
Ketika itu, sebagai Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA anjuran GMI, saya mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 surat dapat disampaikan oleh rakyat Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri dan ‘Office of High Commissioner for Human Rights (OHCHR)’ di PBB.
Walaupun sasaran itu kurang sedikit, kami berjaya menghantar lebih 20,000 surat ke PBB dan sejumlah yang sama kepada Menteri Dalam Negeri di Putrajaya. GMI mendapat respons positif daripada OHCHR yang berada jauh beribu-ribu kilometer iaitu di Geneva tetapi anehnya langsung tidak mendapat sebarang berita daripada pejabat Menteri Dalam Negeri yang cuma terletak di Putrajaya.
Kempen bersama IHRC
Mungkin ramai tidak tahu bahawa isu tahanan tanpa bicara suamiku, Mat Sah Mohd Satray telah dihantar ke peringkat antarabangsa sejak tahun 2007 melalui Islamic Human Rights Commision (IHRC) yang berpangkalan di London.
IHRC telah menyediakan satu kempen pek lengkap mengenai akta zalim ISA di Malaysia dan Mat Sah dijadikan contoh tahanan yang masih dipenjara tanpa bicara di Kem Kamunting. GMI mendapat kerjasama yang amat baik daripada IHRC manakala sokongan rakyat Malaysia terhadap aktiviti ‘menulis surat’ itu telah melonjakkan kempen itu ke perhatian PBB pula.
Jika diimbas kembali, ia seolah-olah satu perjalanan yang sangat panjang, tetapi sokongan berterusan daripada rakyat Malaysialah yang memberi kekuatan kepadaku untuk berusaha keras mencari peluang dan dana bagi memastikan kezaliman ISA dapat disuarakan di United Nation di bumi Switzerland ini.
Pemergianku ke Geneva baru-baru ini juga merupakan salah satu daripada dua perkara utama dalam ‘retreat’ GMI bagi tahun 2009 ini selain daripada Himpunan Mansuh ISA yang dalam peringkat mobilisasi massa sekarang.
Saya dan aktivis lain di GMI amat menyedari, selain penahanan tujuh tahun yang sudah terlalu lama pada abad ke-21 ini, tidak dapat dinafikan gelombang kesedaran rakyat terhadap isu tahan tanpa bicara ISA ini begitu kuat sekali hingga menyebabkan PM Najib Razak dalam ucapan perdananya terpaksa menyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula ISA dan pada masa yang sama membebaskan 13 tahanan ISA pada 2 April lepas.
Kemudian pada bulan Mei baru-baru ini, sekumpulan 13 tahanan ISA lagi telah dibebaskan tetapi malangnya Mat Sah masih belum dibebaskan.
Permusafiran di Geneva
Geneva, yang terletak bersempadanan dengan Perancis adalah sebuah bandar raya yang sederhana besarnya, jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisonal ini memang terkenal di serata dunia sebagai sebuah tempat amat terkenal dengan pengeluaran jam tangan.
Tidak hairanlah di sepanjang jalan, terdapat deretan kedai-kedai menjual jam tangan berjenama seperti Rolex, Reymond Weil, Tissot, Oris dan pelbagai lagi.
Walaupun kami agak letih sepanjang 20 jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Geneva, panorama alam seindah banjaran Alps yang masih ada selapis salji di atasnya, pemandangan Tasik Geneva yang begitu mengasyikkan dengan hembusan angin musim panas yang dingin dan nyaman seolah-olah melupakan seketika bahawa saya datang ke sini untuk menyampaikan kepada dunia, satu kisah kezaliman yang belum tahu bilakah penghujungnya.
Kami berempat iaitu saya, Nalini dan John daripada Suaram serta Andrew daripada Bar Council terpaksa melalui jadual yang agak ketat. Setiap hari, kami keluar dari hotel menuju ke bangunan United Nations seawal jam 8.00 pagi dan kemudian kembali ke hotel pada jam 7 atau 8 malam.
Pada hari pertama, kami dimestikan mendaftar sebagai salah seorang peserta yang akan berucap dan kemudian sebahagian besar masa dihabiskan bertemu peserta daripada beberapa NGO negara lain untuk menyampaikan mesej pencabulan hak asasi yang terkandung dalam ISA kepada mereka.
Dalam proses memurnikan ucapan yang telah lama didraf, aku mengimbau kembali peranan ‘OHCHR- United Nations’ dalam isu ISA ini, badan dunia itu telah mengeluarkan satu perisytiharan ‘Arbitrary Detention’ terhadap Mat Sah sejak bulan November 2008 lagi.
Tahanan masuk tahun ke-8
Selain perisytiharan itu, mereka juga telah mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya Mat Sah dibicarakan atau dikeluarkan saja dari Kem Kamunting kerana sebaik saja selesai meneliti laporan dari pihak GMI dan pihak Kerajaan Malaysia (Kementerian Dalam Negeri), ternyata penahanan tanpa bicara yang dikenakan ke atas Mat Sah amat bertentangan dengan mana-mana prinsip hak asasi manusia.
Kemudian dalam bulan Februari 2009, isu ‘Arbitrary Detention’ ini juga telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh sebuah jawatankuasa kerja di PBB untuk memberi lebih penekanan supaya kerajaan Malaysia melakukan sesuatu yang lebih mulia daripada terus-menerus menahan Mat Sah yang kini ditahan masuk tahun kelapan!
Semua fakta di atas saya masukkan dalam ucapan tersebut. Saya terlupa, berapa kali agaknya draf ucapan itu diubah suai mengikut kepentingan fakta dan masa yang diberi. Beberapa kali saya ucapkan terima kasih pada Andrew Khoo yang telah menyusun semula semua fakta penting dalam ucapan tersebut dan memasukkan elemen perundangan di dalamnya.
Ketika membuat penyusunan itu, Andrew mengatakan beliau membayangkan bagaimana keadaan Mat Sah yang telah tujuh tahun tidak menikmati kehidupan normal kerana terkurung di kem. Beliau dapat merasakan deritanya menjadi tahanan ISA kerana pernah beberapa kali bertemu Mat Sah ketika melawat tahanan ISA di Kem Kamunting.
Pada hari Jumaat, 12 Jun 2009, saya adalah peserta keenam yang diberi peluang berucap. Sebaik saja teks ucapan itu siap, saya segera berlatih supaya dapat membaca dengan lancar dan tenang.
Ucapan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris itu berkisar kepada penahanan tanpa bicara yang memasuki tahun ke tujuh, ‘habeas corpus’ tidak sesuai untuk membebaskan tahanan daripada sudut perundangan, lembaga penasihat yang tiada integriti, tiada ‘charge’ yang membolehkan tahanan didakwa di mahkamah, perisytiharan ‘Arbitrary Detention’, kerinduan Suhaib yang sentiasa menanti kepulangan bapanya.
Dan akhir sekali merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menerima cadangan daripada OHCHR agar sama ada membicarakan Mat Sah di mahkamah atau membebaskannya saja.
Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan teks ucapan itu dengan tenang dan fasih. Aku amat bersyukur, kerana segalanya berjalan dengan lancar. Selesai saja kami, barisan NGO menyampaikan ucapan, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Duta Besarnya berkata, isu ‘Arbitrary’ akan diberi keutamaan dan ISA juga dalam proses untuk dikaji semula.
Tagih janji PM
Itulah ucapan yang amat sedap didengar oleh wakil Malaysia di hadapan wakil negara lain demi untuk menutup segala unsur negatif yang telah terpaksa kami nyatakan secara terus terang.
Namun, apakah hakikat sebenar kedudukan ISA di Malaysia? PM Najib Razak memang berjanji untuk mengkaji semula akta itu, tetapi nampaknya daripada bulan April hingga Jun, belum ada sebarang tanda yang beliau mengarahkan sebarang ‘engagement’ antara kerajaan dengan pengamal undang-undang dan NGO yang terlibat secara aktif dalam kempen anti-ISA.
Tidak ada ‘time�frame’ dalam janji-janji PM bahawa ISA akan benar-benar di kaji semula…
Saya amat berterima kasih kepada Forum Asia, sebuah NGO di Bangkok, yang mempunyai beberapa orang kakitangan di Geneva yang banyak membantu menyelesaikan urusan kami ketika berada di PBB.
Mewakili GMI, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang dana terbesar misi ke Geneva ini terdiri daripada Harakah, kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan dan Pulau Pinang, KeADILan, Kumpulan Usrah Profesional dan JIM di atas bantuan mereka.
Baca lagi...

07 Julai 2009

Tolak Debat, Bimbang PAS Bogelkan Dasar UMNO

Oleh Tarmizi Mohd Jam, Salmiyah Haron & Anis Nazri

Debat Terbuka antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mungkin akan mencipta sejarah kedua – selepas Debat Anwar-Shabeery Chik jika Najib tidak gentar menyahut cabaran itu.
.
Hanya melalui debat terbukalah satu-satunya peluang Najib untuk menyangkal dakwaan Tok Guru Nik Aziz bahawa UMNO-BN bukannya sesat sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Kelantan.
.
Najib sebagai orang pertama dalam kerajaan wajar mencuri peluang keemasan ini untuk mempertahankan dasar perjuangan UMNO-BN dan membuktikan kepada rakyat dasar UMNO dan BN bukan sebagaimana yang didakwa “sesat” oleh Menteri Besar Kelantan itu.
.
Hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda UMNO negeri membuat aduan polis 23 Jun berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.
.
Aduan itu dibuat oleh Ketua Pemuda, Anuar Safian, di Balai Polis Kota Bharu jam 10:30 pagi dengan diiringi kira-kira 100 anggota pergerakan itu yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan PAS bekerjasama dengan DAP dan KeADILan.
.
Ekoran tindakan Pemuda UMNO itu, Tuan Guru Nik Aziz turut membuat draf surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri untuk mengadakan perdebatan berkenaan isu yang dibangkitnya dalam ceramah di Manek Urai itu.
.
Bagi Tok Guru Nik Aziz antara jalan terbaik untuk menyelesaikan isu PAS-UMNO wajar dibincangkan secara berdepan, perkara itu tidak akan selesai dengan menggunakan media.
.
Namun, mantan Perdana Menteri yang menjadi mentor Najib, Tun Mahathir cepat-cepat memberi respons agar Najib tidak melayan cabaran Tok Guru Nik Aziz sebaliknya menyifatkan debat terbuka itu hanya membazirkan masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata.
.
Alasan mentor Najib itu, bagi Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed hanya menggambarkan UMNO tidak berani berdepan dengan Tok Guru Nik Aziz.
.
“Kalau UMNO tidak boleh menerima dakwaan Mursyidul Am PAS itu, sepatutnya mereka kena terima cabaran debat bagi membersihkan nama baik kononnya UMNO dikatakan sesat,” katanya ketika dihubungi.
.
Al-Quran, hadis atau sunnah seharusnya menjadi asas kepada perjuangan Islam begitu juga kerajaan yang dilabelkan sebagai kerajaan Islam. Oleh yang demikian, asas itulah yang menjadi pegangan kepada perjuangan Islam, apabila orang Islam tidak ikut asas itu maka orang itu dalam golongan sesat, tegas Dr Mahfodz.
.
Katanya, sikap keterbukaan PAS melihat UMNO dan PAS adalah sesama Islam dan apabila berdebat bukan sahaja menggunakan akal fikiran tetapi rujukan utama adalah al-Quran dan sunnah.
.
Mengulas tuduhan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Dato’ Dr Kamarudin Kachar yang mendakwa kononnya Tok Guru Nik Aziz bukan pejuang Islam sebenar, Dr Mahfodz menyifatkan tuduhan liar itu keterlaluan. Sebaliknya beliau yakin, apa yang diperjuangkan oleh MB Kelantan itu adalah perjuangan Rasulullah SAW.
.
(Dipetik daripada Harakah / Fikrah Bil 1452 / 10-12 Rejab 1430H / 3-5 Julai 2009, F18)
Baca lagi...

05 Julai 2009

Himpunan Mansuhkan ISA dilancarkan - harakahdaily

KELANA JAYA, 2 Julai - Himpunan Mansuhkan Akta ISA telah dilancarkan kelmarin dalam satu majlis ringkas dan bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini.

Majlis tersebut diadakan di Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium MBPJ di sini.

Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh yang bersyukur kerana diberi peluang oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk melancarkan himpunan besar-besaran ini.

"Ini telah saranan oleh kerajaan Pakatan Rakyat iaitu sekiranya mereka mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan sekarang dengan segera ISA akan dimansuhkan," katanya dalam ucapan pelancaran itu

Katanya, umur ISA akan genap 49 tahun pada 1 Ogos, umur ini hampir kepada umur pencen awal. Tetapi kita tidak mahu ianya pencen awal sahaja, bahkan kita mahu ianya pencen wajib serta patut dihapuskan untuk selama-lamanya.

Kerana menurutnya, akta ini telah mencemari keluhuran undang-undang dan menjadi undang-undang rimba, ia juga telah mencemari kedaulatan undang-undang, kemurnian agama dan telah mencemari hak kebebasan.

"ISA juga telah merencatkan daya fikir kita, merencatkan fitrah manusia yang bebas dan ISA bercanggah dengan semua agama.

"Ini adalah perkara-perkara asas, walaupun ada usaha untuk mengkaji semula ISA. Walaupun ada usaha-usaha untuk membebaskan tahanan ISA dan kini hanya tinggal 12 orang.

"Tetapi kita tidak boleh leka dan juga tidak boleh putus asa, sehingga kita lihat tidak ada seorang pun yang akan ditahan di bawah tahanan ISA kerana ia adalah satu kezaliman yang besar.

"Jadi pada malam saya menyeru dan mengajak semua pihak di seluruh negara dari Perlis sampai ke Sabah, daripada gurun hingga ke lembah, daripada desa hingga ke bandar raya kita turun pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur untuk menyampaikan satu mesej yang jelas dan lantang dengan tiga tuntutan," katanya.

Tuntutan tersebut ialah iaitu, mansuhkan ISA, bebaskan semua tahanan dan tutup Kem Kamunting dan mendapat sokongan salah sebuah parti di Sabah iaitu Parti Bersatu Rakyat Sabah telah pun menyatakan sokongan mereka supaya ISA dimansuhkan.

Majlis pelancaran itu dimulakan dengan pemakaian selendang merah hitam yang menjadi lambang perlancaran Himpunan Mansuhkan ISA kepada pemimpian tertinggi Pakatan Rakyat dan perlepasan dua ekor merpati putih sebagai tanda kebebasan. - mns
Baca lagi...