21 Jun 2009

Kenyataan Akhbar

Ada 3 perkara yang saya hendak sebutkan dalam sidang akhbar hari ini.

Pertamanya, kepimpinan PAS Johor sesi 2009-2011, mengenai pasukan yang akan membantu saya dalam menerajui BPPN Johor, tiada apa-apa perubahan. Mereka terus dikekalkan jawatan-jawatan seperti berikut;


Tuan Hj. Aminulhuda Hassan - Timbalan Pesuruhjaya I

Ustaz Atan Hj. Gombang - Timbalan Pesuruhjaya II

Tuan Hj. Dzulkifli Ahmad - Timbalan Pesuruhjaya III

Tuan Hj. Amin Sairan - Setiausaha

Tuan Hj. Mustafa Abd Rahman - Bendahari

Saudara Mazlan Aliman - Ketua Penerangan

Dan 7 orang ahli BPPNJ


Yang keduanya, mengenai Pakatan Rakyat. Dalam mesyuarat sebentar tadi, PAS Johor telah memutuskan untuk mengekalkan dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Ini selaras dengan ketetapan muktamar PAS 2008 di Ipoh, Perak. Untuk tujuan ini, parti-parti dalam Pakatan Rakyat Johor telah bersetuju supaya setiap program yang dianjurkan oleh PAS, PKR & DAP hendaklah disertai bersama oleh wakil-wakil daripada parti tersebut. Sebagai tanda kebersamaan kita, maka satu program ceramah Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29-Jun-09, di Markas PAS Bakri. Mereka yang telah dijemput untuk menyampaikan ceramah pada program tersebut ialah YB Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin (Timbalan PJ PAS Perak), YB Dr. Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor), dan Tuan Hj. Anuar Salleh (Pengerusi PKR Johor).

Hasil dari persefahaman yang mantap oleh Pakatan Rakyat Johor, kita telah dapat menembusi kubu kuat UMNO/BN dan Pakatan Rakyat dapat menawan 6 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen, yang manu 2 kerusi DUN adalah dari PAS manakala selebihnya adalah dari DAP. Saya yakin dengan diperkukuhkan Pakatan Rakyat, bukan sahaja kita dapat menawan beberapa kerusi DUN dalam PRK-13 nanti, bahkan tidak mustahil Pakatan Rakyat Johor Insya-Allah akan dapat merampas daripada UMNO/BN untuk memerintah negeri Johor.

Dan yang ketiganya ialah berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan (Unity Government). Mengenai isu perpaduan, adalah lebih baik kita tunggu penjelasan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang kerana esok akan berlangsung mesyuarat AJK PAS Pusat yang sudah tentu akan membincangkan perkara tersebut. Dalam ingatan saya, perkara ini belum dibincangkan secara mendalam baik di peringkat AJK PAS Pusat mahupun Majlis Syura Ulamak (Consultative Council of Religious Scholars).

Mandat yang diberikan oleh Majlis Syura Ulamak kepada pimpinan tertinggi PAS hanyalah untuk berbincang dengan mana-mana pihak untuk kepentingan ummah. Ini selaras dengan peranan PAS sebagai gerakan dakwah yang memang sentiasa digalakkan untuk menyeru semua pihak untuk mendekati dan memahami Islam sedangkan membuat perbincangan dengan UMNO mengenai penubuhan kerajaan perpaduan belum lagi diputuskan oleh kedua-dua badan tertinggi PAS tersebut. Lagi pun, isu kerajaan perpaduan tidak disentuh langsung dalam ucapan dasar Presiden dalam muktamar PAS yang ke-55 di Shah Alam tempoh hari. Oleh kerana isu ini besar dan melibatkan dasar parti, maka perlulah ianya diputuskan oleh AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak. Selepas itu jika perlu, ianya perlulah di bawa ke muktamar khas untuk mendapat keputusan muktamad daripada ahli-ahli PAS.

Dato' Dr. Mahfodz Mohamed
PESURUHJAYA PAS NEGERI JOHOR
21hb Jun, 2009

Tiada ulasan: