27 Jun 2009

Syukur, Keputusan Legakan Hati Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamad berkata, keterlanjuran PAS dalam menghadapi isu kerajaan perpaduan sekali gus telah memperlihatkan kepura-puraan Umno kononnya untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Umnolah antara yang paling kecewa dengan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dengan bermacam-macam tohmahan termasuklah mengatakan PAS penakut.

"Umno tohmah kita mengatakan kita takut dengan Pakatan Rakyat sebab itulah mereka beriya-iya sangat hendak mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya semasa dihubungi.

Sebenarnya, kata Ustaz Mahfodz, PAS dalam masa yang sama boleh melihat sejauh mana hati budi serta keikhlasan Umno dalam merealisasikan agenda itu.

"Tetapi akhirnya PAS melihat hati budi Umno sebenarnya. Nampaknya Umno sudah terlalu terlajak dalam memberi respons dalam isu ini. Sehingga surat khabar yang tidak pernah memuji PAS akhirnya terlalu memuji PAS dan Umno pula sanggup menawarkan bermacam-macam syarat untuk menarik PAS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur atas keputusan majlis Pakatan Rakyat dan juga Majlis Syura PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor juga bersyukur kerana keputusan itu melegakan semua pihak di peringkat akar umbi yang selama ini 'susah hati' kerana mainan politik umno yang sengaja mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah.

"Keputusan itu sekaligus menyatupadukan semula PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ahli dan penyokong PAS dari peringkat bawah hinggalah ke atas," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pimpinan parti itu jangan mudah terpedaya dengan mainan politik Umno BN sekali gus berbincang terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi mereka sebelum memberi reaksi sesuatu perkara.

"Apabila ada keputusan pimpinan tertinggi, mereka diperingkat bawah akan taat setia dengan keputusan itu," katanya. Selepas ini ahli dan penyokong PAS menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Manek Urai.

Tiada ulasan: