22 Februari 2009

Misi Bantuan Kemanusiaan PAS Johor Kepada Rakyat Palestin

Saya dan beberapa pimpinan PAS Johor termasuk Timbalan Pesuruhjaya Ustaz Atan Gombang, Ketua Dewan Ulama Ustaz Abdullah Hussin, Ketua Dewan Pemuda saudara Khairul Faizi dan Ketua Penerangan Saudara Mazlan Aliman dan beberapa orang lagi telah bertolak ke Cairo pada 14 Februari yang lalu (Sabtu) jam 10:30 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tujuan pemergian ke Cairo adalah untuk menyampaikan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin dan juga untuk melihat sendiri keadaan apa yang berlaku di Gaza dan juga kekejazaman yang dilakukan oleh rejim Yahudi.


Selain daripada itu, rombongan ini juga mengambil peluang untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir khususnya daripada Johor.


Pada hari Selasa bersamaan 17 Februari, kami telah cuba untuk pergi ke Gaza melalui bandar Arish dan sampai ke Rafah pada pagi Rabu 18 Februari. Tetapi kami menghadapi beberapa kesukaran kerana sekatan-sekatan polis yang banyak hingga ke bandar Arish.


Dan apabila sampai ke Rafah, kami sekali lagi telah berunding dan merayu kepada pihak pegawai keselamatan di sempadan tetapi gagal juga akhirnya untuk kita sampai di Gaza kerana kerajaan Mesir telah menutup pintu sempadan ke Gaza.


Dalam perjalanan pulang dari Rafah, kami cuba juga untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa kekejaman Israel di hospital-hospital di Ismailiyah dan kami telah membuat temu janji dengan seorang doktor untuk kita terus dapat menyampaikan hadiah secara langsung kepada mangsa-mangsa tersebut.


Secara tidak kami sedari, pihak mata-mata gelap Mesir telah menyambut kedatangan kami dan saya beserta Ustaz Abdullah telah disoal siasat lebih daripada 3 jam. Sehingga akhirnya kami juga gagal menyampaikan bantuan secara langsung kepada mangsa-mangsa di hospital.


Lalu saya telah membuat keputusan untuk pergi ke Syria pada hari Rabu untuk menyampaikan secara langsung bantuan kewangan tersebut kepada pihak Hamas di Syria.


Dan akhirnya saya dan Ustaz Abdullah telah dapat bertemu dengan wakil Hamas di Syria dan menyerahkan bantuan tersebut pada pagi hari Khamis (19 Februari).


Kami berdua berada di Syria selama 24 jam, bertolak ke Syria pada hari Rabu jam 5 petang dan kembali semula ke Cairo pada petang hari Khamis jam 6 petang.


Semasa kami berada di kedua-dua negara tersebut, kami sempat bertemu dan berbincang dengan pelajar Malaysia di Syria dan juga pimpinan pelajar-pelajar Johor di Cairo.


Dalam misi tersebut, saya sebagai ketua rombongan telah membawa pimpinan melawat ke Universiti al-Azhar dan solat Jumaat di Masjid al-Azhar, melawat Masjid Saidina Hussein, Maqam dan Masjid Imam al-Syafie, Masjid 'Amru bin al-'As, Masjid Sultan Hassan dan lain-lain tempat bersejarah di Mesir.


Saya dan anggota rombongan berasa sangat kecewa terhadap pihak berkuasa Mesir, bukan sahaja tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya, tetapi juga menghalang kami dan ramai lagi misi-misi bantuan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada mangsa-mangsa kekejaman Israel dan juga untuk melihat sendiri apa yang berlaku di Gaza.

Mungkin ini kerana kerajaan Mesir tidak memberikan sokongan yang jelas kepada perjuangan rakyat Palestin khususnya kepada kerajaan Hamas.


Manakala pihak berwajib di Syria tidak melakukan apa-apa halangan, malahan memberi penuh kerjasama kepada kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan.


Dan sebab itulah kami dapat bertemu dengan pimpinan Hamas kerana kerajaan Syria menyokong perjuangan rakyat Palestin, dan sebab itulah Hamas dibenarkan bergerak di Syria.

Tiada ulasan: